
Para pemenang Pertandingan Bergendang dan Nopeng semalam di The Summer Shopping Mall, Kota Samarahan.
KOTA SAMARAHAN: Kumpulan Khazanah Warisan menjuarai kategori Gendang Secara Berkumpulan dalam Pertandingan Bergendang dan Nopeng semalam.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dengan kemenangan itu, kumpulan Khazanah Warisan berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM2,000 dan piala.
Pertandingan Bergendang dan Nopeng telah diadakan sempena Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17 Peringkat Sarawak di The Summer Shopping Mall, malam tadi.
Manakala johan untuk kategori Nopeng Berpasangan Lelaki dimenangi kumpulan Lenggok Tradisi yang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM800 berserta piala.
Johan bagi kategori Nopeng Berpasangan Wanita pula dimenangi kumpulan Adinda Berdansa yang membawa pulang hadiah wang tunai RM800 berserta piala.
Sementara itu, johan bagi kategori Nopeng Berpasangan Kanak-Kanak dimenangi kumpulan Tandak Warisan yang turut membawa pulang hadiah wang tunai RM600 dan piala.
Timbalan Residen Bahagian Samarahan Rais Ahmat telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Hadir sama, Temenggong Melayu Bahagian Samarahan Chek Bujang, wakil Pengerusi Badan Kesenian Gendang Melayu Sarawak Kota Samarahan Misiah Suhaili dan wakil pengurusan The Summer Shopping Mall Canny Jong.
Source: https://www.utusanborneo.com.my/2024/09/08/kumpulan-khazanah-warisan-lenggok-tradisi-juara-pertandingan-bergendang-dan-nopeng